KUALA KUBU BAHARU: Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran memberi jaminan bahawa MIC sentiasa mengamalkan sifat 'tangan terbuka' untuk mendengar keluhan masyarakat India terutamanya di Kuala Kubu Baharu.

Menurutnya, MIC sedia membantu kebajikan masyarakat India di Kuala Kubu Baharu meskipun calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu bukan daripada komponen Barisan Nasional (BN).

"Saya bagi tahu kepada penduduk di sini (Kuala Kubu Baharu), saya sebagai Presiden MIC  dan parti saya datang ke sini, sekiranya ada lagi masalah selepas ini, mereka boleh terus datang kepada kita (MIC).

"Kita bukan menolong setakat pilihan raya sahaja, kalau ada masalah selepas itu pun, datang jumpa kami (MIC).

"Kalau masalah itu tidak dapat diselesaikan di peringkat MIC, kita akan bawa kepada kerajaan negeri atau pusat. Ini adalah jaminan yang kita bagi kepada penduduk di sini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika majlis keagamaan Hindu yang turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao di Kuil Rettai Muniswarar, Kerling, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Vigneswaran turut menyeru pengundi India supaya tidak terpedaya dengan pelbagai siaran propaganda, termasuk dalam bentuk tohmahan di media sosial terhadap Kerajaan Madani.

Sebaliknya beliau mengingatkan pengundi India supaya membuat keputusan bijak demi masa depan dan bersatu membantu calon DAP.

"Macam mana calon (Perikatan Nasional) satu lagi nak membantu sedangkan parti yang ditandinginya itu bukan kerajaan negeri atau pusat?

"Orang luar datang sini minta undi PN atau jangan undi PH, tapi apa yang mereka boleh buat jika PN menang? Mereka bukan kerajaan," katanya.

PRK ini berkomposisi 40,226 pengundi berdaftar, iaitu pengundi Melayu sebanyak 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus) dan India (18 peratus).

Ini menjadikan bukan sahaja jumlah pengundi Melayu dan China seimbang, bahkan pengundi India dilihat sebagai penentu keputusan PRK Kuala Kubu Baharu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, sebahagian besar pengundi India memihak kepada PH, iaitu calon DAP, mendiang Lee Kee Hiong hingga menang dengan majoriti 4,119 undi.